Nov 3, 2014

Ritual Salam-salam: Budaya Misteri di Malaysia



Bergaul dengan Pak Arab Muslim banyak membuat saya berfikir tentang Muslim di Malaysia. Kita sama-sama muslim, tapi kita mempunyai amalan hidup yang berbeza. Dari sudut ibadah hinggalah makanan dan pakaian. Dan itu tidaklah menjadi masalah. Bahkan, dari situ juga membuatkan kita menjadi lebih terbuka dan berlapang dada kepada manusia yang berbeza latar belakang.

Zikir selepas solat

Selepas solat berjemaah, Pak Arab biasanya akan berzikir sendiri-sendiri. Ada juga yang terus beredar melaksanakan urusan kehidupan. Jauh sekali jika ingin melihat suasana pak imam berzikir kuat-kuat diikuti oleh makmum, kemudian mengetuai bacaan doa secara lantang yang tidak pun difahami oleh para makmum seperti halnya kita di Malaysia.

Berdoa bersendirian itu, ada kelebihannya. Ianya membuatkan kita lebih fokus dan lebih sedar tentang apa yang kita ingin doakan. Bayangkan, apabila kita menyusun sendiri kata-kata dalam doa kita, berbicara denganNya, hati kita sendiri akan merasa. Mana taknya, apa yang disampaikan dari hati akan kena pada hati jua.

Ritual Salam-salam

Di Malaysia, kita ada ritual salam menyalam antara satu sama lain dalam bulatan, kemudian diakhiri dengan bacaan doa. Entahlah. Mungkin bukan hanya dia Malaysia. Budaya Nusantara mungkin. Pak-pak Arab tiada budaya sebegitu, namun setelah solat isya', biasanya mereka akan berborak panjang, membangkitkan pelbagai isu untuk dibincangkan. Kadang-kadang saya sekadar duduk bersama, hanya mendengar sambil minum kopi arab yang mereka hidang dalam cawan kecil. Bila terdengar mereka seperti bercakap tentang Malaysia, biasanya saya akan tanya Brother Ahmad tentang apa yang mereka bualkan.

Apa-apa pun, budaya ini masih menjadi sebuah misteri pada diri saya. Terfikir, bagaimana orang kita tergerak untuk mewujudkan amalan salam-salam sebegitu. Satu teori (memandai) yang saya dapat fikirkan ialah, ada suatu masa dahulu, Islam itu begitu asing di sisi masyarakat kita sehingga begitu sedikit orang mengimarahkan masjid. Kemudian, mereka terfikir, apa salahnya berbaris dan beratur untuk menyalam semua jemaah yang berbilang satu saf kecil sahaja. Dengan itu, semua orang dapat bersalaman dan melihat wajah masing-masing. Heh, suka hati je buat andaian. Tapi, apa kata kalau kita buat di Masjid Negara? Alamatnya boleh solat isya' terus kalau Ritual Salam-salam dibuat selepas solat maghrib dengan kehadiran jemaah yang penuh.

Namun, kebiasaannya orang-orang kita ni agak payah nak senyum dan pandang mata kita, apatah lagi bersalam dengan erat. Salam macam nak tak nak. Muka pula masam mencuka. Jadi, apa signifikannya amalan sebegini? Tidak ada ruh pun disebaliknya.

Benda baik, apa salahnya

Orang Australia sangat mudah dan ringan mulut untuk mengucapkan kata-kata seperti "sorry", "thank you", "please", "no worries" dan "hey, how's it going". Ucapan "hey, how's it going" atau "hey, how are you" pula biasa kedengaran apabila mereka bertembung sesama rakan semasa berjalan, dan disambut mudah dengan "Good. How are you?", kemudian masing-masing berlalu pergi.

Tapi, adakah mereka benar-benar memaksudkannya ketika mengucapkan semua itu? Entahlah. Namun, budaya yang baik itu, apa salahnya diamalkan walaupun kelihatan ruh itu tiada. Sekurang-kurangnya, ia membuat orang lain rasa gembira. Asalkan amalan itu bertepatan dengan syara', maka tiada alasan untuk menghalang.

Kesedaran

Jadi, bila kita menyedari sebuah amalan yang menjadi kebiasaan itu mula kurang penghayatan, dari situ timbulnya tanggungjawab terhadap sebuah kesedaran. Amalan solat misalnya. Betapa mudah kita terlupa tentang tujuan. Betapa senang kita terlepas dari memahami bacaan. Berapa kali pula kita benar-benar mengalami kekhusyukan?

Kesedaran itu ada kitarannya yang tersendiri. Pada hari ini mungkin kita sedar, tetapi orang lain tak sedar. Pada hari lain, mungkin kita pula tidak sedar, dan orang lain sedar. Amalan sedar menyedarkan itulah yang patut disuburkan dalam masyarakat kita, bermula dari rumah kita.

Rumahtanggaku syurgaku. Ceh, tiba-tiba.

No comments:

Post a Comment