IBKG
Rumah Tentang IBKG

Sep 10, 2014

Masih Banyak Yang Kita Tak Tahu, Masih Banyak Yang Kita Tak Mengerti



Saya baru tahu yang sesetengah kereta (mungkin kebanyakan kereta baru) ada sebuah cip yang dipasangkan pada kuncinya, di mana apabila cip itu tidak ada, kereta itu tidak dapat dihidupkan dengan sempurna. Ia akan memberi sedikit harapan dengan bunyi enjin, kemudian mati serta-merta.

Mula-mula, pemilik kereta itu tengok pelbagai kemungkinan yang boleh buat kereta itu tak berfungsi. Tengok punyalah tengok, tiba-tiba ada seorang taiko ini memberitahu bahawa kereta itu tak boleh berfungsi sebab cip pada kunci itu hilang. Taiko itu pula bukanlah seorang yang bujang. Ok tak ada kaitan.


Macam warna McBoikot la pulak

Banyak perkara sebenarnya yang masih kita tak tahu. Banyak perkara yang kita tak mengerti. Kenapa kita perlu buang air besar? Kenapa bila jumpa akhawat cantik, hati rasa berdebar? (Ops). Kenapa buku kebanyakannya berbentuk petak? Kenapa bila orang sebut pasal kita, kita akan tersedak? (Karut). Kenapa kita tersesat dalam sesebuah jurusan? Kenapa kita kadang-kadang tak tahu nak buat apa dengan kehidupan?

Banyak persoalan yang kita begitu mahukan jawapannya segera. Waktu ini juga. Tapi lumrah kehidupan, kita kadang-kadang hanya perlu terus berjalan. Dalam perjalanan itu, kita akan menemui orang, kita akan melihat gelagat haiwan, tumbuhan dan juga alam. Dari situ kita akan sedikit demi sedikit temui jawapan.

Ya, kita akan kata Al-Quran memberi kita jawapan kepada setiap persoalan. Tak semestinya, kawan. Al-Quran tak memberikan semua jawapan, tapi ia memberikan segala panduan yang kita perlukan. Panduan berinteraksi, panduan berfikir, panduan menjaga hati, dan segala macam panduan lagi. Untuk mencari jawapan pada semua persoalan dalam kehidupan, kita hanya perlu menggunakan

panduan yang Al-Quran berikan:

Maka bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui.
(An-Nahl: 43)

Tak silap saya, Ustaz Nouman Ali Khan, dalam ceramahnya di Youtube, ada menceritakan bahawa pernah apabila dia memberi ceramah, terdapat ibu yang menceritakan masalah anaknya dan memohon nasihat daripadanya. Dia kemudian berkata kepada si ibu bahawa masalah anaknya itu memerlukan pertolongan profesional, dikhuatiri jika dia cuba-cuba untuk menyelesaikannya, dia akan lebih memburukkan keadaan. Bayangkan, dengan ilmu yang banyak, dia tetap tahu di mana batas dirinya untuk memberikan nasihat.

Kita ini, kadang-kadang begitu senang merasakan bahawa kita mampu menyelesaikan masalah semua orang. Kita rasa masalah itu hanya ada hitam putih. Kalau orang itu macam itu, kita bagi dia ayat Quran itu, kalau orang ini macam ini, kita bagi hadis ini. Saya pun dulu begitu. Merasa bahawa semua perkara boleh diselesaikan dengan nas-nas dan hujah agama. Alhamdulillah, semalam saya telah berjumpa seorang doktor kerana masalah yang saya alami, dan hasil perbincangan dengan doktor itu, saya terasa lebih lega. Kelegaan yang tak dapat saya rasai dengan membaca Quran dan melaksanakan tahajjud, yang sebelum ini berkesan memberi ketenangan sentiasa.

Ini mungkin berbunyi agak kontroversi, tapi poin yang saya ingin ketengahkan ialah, masalah manusia ni bukan hanya berkaitan dengan spiritual. Kadang-kadang, keadaan dan masalah yang berlaku dalam hidup manusia memerlukan kita menggunakan pendekatan yang berbeza. Kadang melibatkan emosional, kadang melibatkan mental, kadang melibatkan fizikal. Dalam kita ingin menyantuni manusia, kita perlu ambil kira semua aspek ini dalam menyelesaikan masalah mereka.

Ketika saya dirudung masalah tersebut (saya tak mahu kongsikan di sini), saya tidak dapat meneguk hikmah disebalik apa yang berlaku. Quran dan zikir juga tidak betul-betul menenangkan kalbu. Namun sekarang, saya dapat rasa bahawa ianya adalah tarbiyah kepada saya bahawa saya perlu lebih sedar yang keperluan atau masalah manusia itu bukan sekadar spiritual, tapi lebih dari itu. Ada juga sudut psikologinya yang kita perlu tahu.

Bukanlah saya ingin mengatakan bahawa jangan selesaikan masalah orang. Cumanya, jika kita betul-betul tidak tahu menyelesaikan masalah yang datang kepada kita, jangan kita malu mengatakan tak tahu dan membawa orang itu berjumpa dengan orang yang betul-betul tahu. Ada masalah dalam hidup ini yang kadang-kala kita perlu rasainya sendiri, baru kita tahu nasihat apa yang kita boleh beri. Paling tidak pun, kita hanya perlu berusaha memahami.

Nasihat yang umum itu memang berguna, namun jika ada kes istimewa datang kepada kita, haruslah menanganinya dengan bijaksana. Yang penting, jangan berhenti belajar daripada mereka yang lebih banyak pengetahuannya. Kerana semakin kita belajar kita akan tahu bahawa masih banyak yang kita tak tahu, masih banyak yang kita tak mengerti.

*Terima kasih kepada anda-anda yang memberi sokongan dan dokongan apabila saya jatuh di lantai terburai. Membantu saya mencantumkan serpihan-serpihan diri saya yang berkecai. Moga Allah mengganjari kalian dengan ganjaran yang tak tercapai dek akai. Kbai.