May 11, 2014

Bila Hati Berat Untuk Menulis





Beberapa menjak ini, saya seringkali mempunyai keinginan untuk menulis, berkongsi ilmu dan rasa dengan orang lain melalui penulisan di blog ini, namun seringkali juga merasa berat untuk menulis. Mengapa?

Saya akui, sekarang merupakan detik-detik yang agak sukar dalam hidup saya. Sebenarnya saya malu (takut) berhadapan dengan orang ramai, dek ketidakstabilan hidup saya sekarang ini. Banyak sebenarnya perkara yang berlaku yang menyebabkan saya merasakan berat sekali untuk menulis tentang hal yang baik-baik, kerana hidup saya boleh dikatakan 'tidak baik' sekarang ini.

Mungkin, ini adalah ujian daripada nasihat-nasihat saya dulu kepada orang lain. Dulu, saya ringan sekali dalam memberikan pandangan serta nasihat kepada orang-orang disekeliling saya. Memberi kata perangsang dan semangat. Jadi, mungkin sekarang Allah mahu uji, apabila kesusahan itu memberati diri saya, adakah saya mampu melakukan seperti apa yang saya nasihatkan dulu itu? Adakah saya mampu untuk membangkitkan semangat saya ketika pudar? Adakah saya benar dalam iman saya?

Sebenarnya yang patut menjadi penasihat terbaik buat diri kita, adalah diri kita sendiri. Selagi kita tidak mampu memberi harapan kepada diri kita sendiri bahawa kita mampu hadapi segala ujian dan rintangan yang mendatang, kita akan terus menerus menjadi lemah semangat serta tidak bermaya. Datangkanlah rombongan kaunselor dan therapist sekalipun, jika diri sendiri tidak mahu cuba melangkah lebih jauh ke depan, memang takkan ke mana.

Namun, apabila kita sudah dilanda kebuntuan dalam menyelesaikan masalah diri kita, jangan lupa bahawa di sekeliling kita, ada ramai yang sebenarnya bersedia untuk membantu. Kita cuma perlu berani meluahkan apa yang terbuku di hati. Janganlah kita malu untuk mengaku kelemahan sendiri dan tidak mahu berkongsi masalah hanya kerana mahu menjaga air muka. Akhirnya, masalah tidak selesai, air mata pun berderai.

Benar, merenung kembali ayat-ayat Allah adalah sangat penting dalam kita mahu menyelesaikan masalah dan kerungsingan dalam hidup kita. Contohnya, jangan berputus asa dengan rahmat Allah (Az-Zumar: 53), Allah tidak membebankan kita luar dari kemampuan kita (Al-Baqarah: 286), Allah akan beri jalan keluar dari masalah (At-Talaq: 2-3), ini semua ujian Allah untuk melihat keimanan kita (Al-Baqarah: 214) dan banyak lagi ayat-ayat memberi kita mesej bahawa dalam hidup ini, jangan pernah mengalah.

Tapi dalam kita meneliti ayat-ayat tersebut, jangan pula lupa dengan ayat yang berbunyi:

“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).”
(An-Nahl: 43)

Kita orang muda ni, sebenarnya masih mentah dalam liku-liku kehidupan ini. Kita selalu rasa yang bila kita dah baca macam-macam, kita dah tahu macam-macam. Padahal, semakin kita membaca, semakin kita membesar, kita patut sedar yang sebenarnya makin banyak perkara yang kita tak tahu. Dan mereka yang pernah dahulu melalui jalan kehidupan ini, pastinya tahu lebih banyak cabaran yang perlu dilalui dalam meraih kejayaan dan kebahagiaan. Maka, janganlah segan silu untuk bertanya tentang kehidupan kepada yang pakar iaitu mereka yang telah merasai sendiri pahit manis kehidupan.

Al-Quran itu ada tetaplah menjadi panduan. Tetapi manusia itu juga ada supaya kita dapat mengaitkan panduan Tuhan itu dengan kehidupan. Carilah mereka yang berpengalaman dalam hidup ini, kutip hikmah serta mutiara, supaya kita muncul semula sebagai juara!


No comments:

Post a Comment