May 12, 2014

Alergik Dengan Politik?



Nampak tak permainan dia? Ya, apabila kita nampak permainan politik di bumi Malaysia yang tercinta ini, kita akan mudah rasa mual, menyampah, mungkin juga rasa alergik. Sebenarnya bukan di Malaysia sahaja. Sehebat mana pun kita lihat negara-negara di dunia ini, pasti terdapat perkara yang tidak enak dalam hal politiknya.

Tahun ini, bagi saya, bermacam-macam hal politikus yang membuat penat fikiran yang sudah sedia berselirat. Hari tu Kajang Move, hari ni Ganu Move. Hari tu PR serabut, hari ni BN kelam kelibut. Hari tu isu kewangan, hari ni isu perkauman. Hari ni saya sekadar menyebut beberapa isu yang panas diperkatakan di laman sosial dan juga sesawang.

Nak termuntah aku [Gambar]

Jadi, apa masalahnya dengan politik kita?

Pemimpin pecah amanah? Benda biasa. Amalan rasuah? Itu dah semestinya. Guna kuasa secara salah? Chill la der. Hal ini buatkan ramai yang tak mahu ambil tahu tentang hal politik negara, sehingga membuatkan mereka alergiklah juga. Akhirnya, jadilah kita orang yang tidak kritikal fikirannya dan memilih untuk mahu lepak-lepak saja.

Benar, politik kita sudah kotor. Ibarat bermain dengan lumpur. Segalanya nampak kabur. Tak pasti boleh bersih atau tak kalau ditabur dengan peluntur.

Bila dilihat, macam payah sangat kan nak jadikan Malaysia ni aman? Aman dari pergaduhan, aman dari persengketaan, aman dari perbalahan. Budak-budak sekolah bergaduh sesama bangsa, ahli politik bersengketa sesama mereka, malah ada pula jemaah Islam yang tak melepaskan peluang berbalah sama.

Ini namanya tidak aman dari segi perasaan. Payah benar kita mahu menghargai sesama kita, biar berlainan bangsa mahupun yang sama. Payah benar kita ingin memandang orang lain dengan pandangan kasih sayang, malah kita memandang dengan perasaan kesumat dan dendam. Mungkin dari luaran, kelihatan kita tidak terlalu bercakaran, tapi dalaman itu, penuh dengan peperangan di alam bayangan.

Tengok tu, daripada nak sembang pasal politik, masuk pulak isu aman, perpaduan, percintaan (aik?). Kenapa? Kerana dari isu-isu politik itu, ia sebenarnya memberi kesan kepada setiap dari diri kita. Sama ada kita kisah atau tidak kisah dengan politik, akhirnya politik akan kisah juga dengan kita semua.

Jadi, sebab itulah adanya kita. Ya, kita. Generasi baru harapan negara. Tidak kisah kita Melayu, kita Cina, kita India, kita Iban, kita Kadazan, kita semua adalah pengubah Malaysia di masa hadapan. Kita ini adalah golongan yang menjadi penentu bagaimana Malaysia akan dicorakkan.

Bagi Muslim, memang mudah dan indah jika kita hanya beribadah tanpa memikirkan tentang siasah. Tapi, ingatkah kita bahawa Nabi kita bertungkus lumus untuk memerangi sistem jahiliyah untuk menegakkan sistem Islam? Jika seruan dakwah Nabi itu sekadar melakukan ibadah khusus, mana mungkin pemimpin-pemimpin kaum Musyrikin boleh merasa yang kedudukan mereka tergugat?

Kerana apa yang Nabi bawa adalah mesej kemanusiaan, mesej kesejahteraan, dan mesej keadilan. Ini semua memang bercanggah dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin Mekah waktu itu. Jadi, melihatkan kebobrokan masyarakat sekelilingnya, Nabi terus-menerus berdakwah untuk memperbaiki keadaan masyarakat semampunya.

Jadi, usah alergik dengan politik. Cukuplah kita memandang isu politik sebelah mata. Pun begitu, kita juga tak perlu mengambil port sehingga mengabaikan segala tanggungjawab yang ada. Cukuplah sekadar mengambil tahu dengan mindset bahawa satu hari, kita mahu dan mampu mengubah ini semua. Tak perlu masuk dalam parti politik pun tak apa. Perkemas tarbiyah diri kita, perbaiki akhlak kita, pertajam minda kita, insyaAllah bila sampai masanya, kita mampu mengubahnya.

1 comment:

  1. Betul3. Sampai tahap orang dah malas nak layan dan mengambil langkah berkecuali. Penat ah nak ikut isu politik ni.

    ReplyDelete