Feb 20, 2014

Di Sebalik Status Islamik



Facebook untuk dakwah? [Gambar]

Sejak kebelakangan ni, makin ramai muda-mudi yang membawa mesej-mesej dakwah dan kebaikan secara umum di Facebook, yang sebelum ni digunakan untuk meluahkan rasa marah, gembira, syukur, update tempat makan, minum, berjogging, atau buang air. Erk.

Saya pun tidak terlepas daripada melakukan perkara tersebut. Mengupdate status-status Islamik atau apa-apa mesej yang berbaur kebaikan, dengan tujuan untuk mengajak manusia untuk lebih mencintai Allah, mencintai Islam, atau paling tidak pun mencintai kebaikan. (Ok, kadang-kadang ada jugak la post melawak atau menggedik-gedik. Hewhewhew)

Jadi, disebabkan itu, di mata rakan-rakan Facebook, orang yang update status macam ni nampak macam baik je, macam baik je. Tapi, biasanya apabila jumpa dengan mereka ini pun, memang nampak baik pun. Ecewah.

Sedarlah. Semua anak Adam itu melakukan kesalahan. Mereka tak lari dari melakukan dosa, walau baik mana pun kita nampak mereka. Manusia ini tak ada yang sempurna. Kalau kita nampak mereka seperti tiada kesalahan, ketahuilah bahawa Allah yang menutup aib mereka daripada manusia. Saya sendiri pun, banyak aib saya yang Allah tutup daripada pandangan manusia. Sama seperti anda. Dan saya sangat bersyukur dengannya.

Teringat pulak sebuah hadis:

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA ia berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya.

Ia berkata, "Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu". Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah." (Muttafaqun ‘alaih HR Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya saya tetap manusia. Di sebalik status Islamik saya, saya masih ada dosa. Saya masih melakukan salah dan silap. Saya masih memerlukan nasihat. Sebenarnya saya sangat takut andai apabila saya kelihatan baik di mata manusia, mereka tidak rasa perlu menegur saya bila saya melakukan kesalahan, menganggap suatu hari saya akan tahu sendiri kesalahan yang saya lakukan, atau dosa yang secara tak sedar saya amalkan.

Akhirnya saya akan hanyut. Hanyut dengan amal sendiri. Kononnya buat semua itu untuk Allah. Padahal semua itu dilakukan untuk nampak baik di mata manusia. Apabila berhadapan dengan manusia, kelihatan seperti malaikat. Tetapi, di belakang manusia, syaitan yang jadi sahabat. Astaghfirullahal'azim.

Alang-alang bercakap tentang status Islamik ni, terimalah sebuah nukilan daripada status FB saya (dengan sedikit tokok tambah):

Hai ikhwah
Tegurlah pabila ku salah
Pimpinlah tika ku rebah
Bukankah itu lebih indah
Dalam kita hangat berukhuwah

Hai teman
Andai kau tegur itu kebenaran
Apa yang ingin kau takutkan
Kerna kau telah jalankan kewajiban
Sebagai da'ie juga sebagai teman

Moral of the story, sebaik mana pun seseorang itu di pandangan mata kita, ingatlah bahawa mereka pun perlukan nasihat. Mereka perlukan bimbingan. Andai mereka terlupa, mereka juga perlukan teguran. Tidak kira ustaz, pendakwah, professor, tukang cleaner, technician, atau apa-apa pun, manusia itu perlukan peringatan. Maka, marilah sama-sama ingat-mengingati antara satu sama lain, tanpa melihat darjat kita atau darjat orang itu, kerana darjat yang sebenar hanyalah di sisi Allah. Bukan di sisi manusia.

Jadi, sila tinggalkan peringatan dan teguran anda dalam inbox Facebook saya sekarang juga.

1 comment:

  1. Ini! Sungguh! Haaaa... Jzkk.

    Btw, yg teringat hadis tu, memang keluar dari ingatan bulat-bulat mcm tu ke macam mana? Hewhew.

    ReplyDelete