Aug 7, 2013

Ramadan Yang Ditangisi dan Syawal Yang Dirai




[Gambar]

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar,
Laailaha illallahu Allahu Akbar,
Allahu Akbar wa lillahilhamd!

Ramadhan telah pergi, Syawal pula menanti.
Perginya Ramadhan, kita tangisi. Namun, datangnya Syawal, kita rai.
Ramadhan adalah bulan tarbiyah, manakala Syawal pula bulan hadiah.
Oleh itu, bergembiralah! Bergembiralah apabila menyambut hadiah dari Allah.
Bergembiralah atas kemenangan dalam kita melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadhan. Namun, tetaplah menyambut perayaan ini dengan penuh rasa kesyukuran dan kehambaan. Bukan kefuturan dan kemaksiatan.

Futur? Ya, jika semua amal kencang kita itu hilang bak ditiup angin taufan.

Syukur? Apabila kita masih istiqamah dalam mengekalkan amalan seperti di bulan Ramadhan.

Untuk menerangkan secara seinci-seinci tentang panduan untuk menyambut Syawal, tidak termampu saya. Jadi, saya sertakan link yang insyaAllah bermanfaat ini sebagai panduan semua. Err... Link?

Apabila Ramadhan telah pergi, pastinya sedihnya terasa juga di hati kan? Kerana telah perginya bulan yang penuh keberkatan. Siapa yang tidak suka dengan promosi-promosi yang diberikan untuk memotivasikan diri kita untuk meningkatkan amalan? Pastinya semua orang melompat kegirangan dan tertawa riang kerana bersemangatnya untuk beribadah sakan. Namun, apabila semua promosi yang ditawarkan kepada kita sudah tiada, pastinya kita akan terasa kehilangan. Itu normal untuk orang yang mempunyai perasaan.

Namun, hari raya adalah hari untuk kita merasa gembira. Bukan untuk kita rasa kecewa, hiba, duka dan nestapa (mak aih!). Hari raya adalah hari yang kita raikan sebagai tanda menangnya kita di atas nafsu yang selama ini sering membelenggu diri kita. Hari raya adalah sebuah hadiah dari Allah untuk hambaNya yang setia. Maka, jika amalan kita pada bulan Ramadhan hanya gitu-gitu sahaja, atau mungkin lebih teruk dari bulan-bulan biasa, maka layakkah kita untuk meraikannya? Haa... Kan dah terasa.

Eh, usah kecewa. Ini adalah sesi muhasabah sahaja. Tidak ingin pula kata kita tidak boleh meraikannya andai ibadah kita seperti nak tak nak sahaja. Tapi, ingin mengajak kita semua bermuhasabah supaya mempunyai azam untuk lebih mendapat makna. Makna yang sebenar disebalik hari raya.

Sentap, sentap juga, bergembira tetap bergembira, namun tetap di dalam redhaNya.

Nasihat untuk diri saya dan semua, biarlah kita selepas Ramadhan menjadi lebih baik daripada kita sebelum Ramadhan. Moga amal yang kita sudah kerjakan di bulan Ramadhan dapat menjadi bekal supaya kita sentiasa istiqamah beramal pada 11 bulan yang seterusnya, dan menjadi lebih baik pula pada Ramadhan yang akan datang. Ulanglah proses ini hinggalah sampai nyawa di kerongkongan.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua! Jangan lupa bagi duit raya! Taqabbalallahu minna waminkum. Maksudnya, moga Allah menerima amal kami dan kalian.

p.s: Eh, peliknya. Tadi nak tulis pendek je. Sedar-sedar agak panjang juga daripada niat asalnya.

Sahabat anda,

IBKG

Aug 4, 2013

Lailatul Qadar – Tarikhnya Terbongkar?



[Gambar]

Hah! Pertamanya, anda ingin membaca post ini kerana apa ya? Kerana mahukan jalan pintas untuk mendapat malam 1000 bulan kan? Kan? Hehe. Maaf. Jika ya, anda akan rasa kecewa sepintas lalu. Takkanlah tarikh lailatul qadar itu boleh senang-senang terbongkar? Harharhar...

Eh, jangan balik periuk dan kuali tu! Dengar apa yang saya ingin perkatakan dulu. Huhu... *Tarik nafas*

Ulama' dari dulu sudah banyak membincangkan tentang perkara ini. Banyak hadis dari nabi dan banyak juga pandangan dari para sahabat serta ulama' tentang bila turunnya malam yang mulia ini. Rasanya tidak perlu untuk saya hamparkan semuanya di sini.

Tapi, apabila berada di luar negara ini, membuka sedikit minda saya yang kecil ini. Di Malaysia mungkin tidak terjadi masalah sebegini. Namun, di luar sana, terdapat banyak tempat yang tarikh bermula dan berakhirnya Ramadhan tidak sama. Nampak tak permainannya? Tahniah jika nampak.

Ya. Bagaimana halnya jika malam ganjil di tempat kita adalah malam yang genap di tempat yang lain? Adakah Lailatul Qadar itu berlaku secara asing-asing? Maka pantaskah kita untuk masih malas dan rimas untuk pulun melaksanakan ibadah untuk 10 malam yang terakhir itu? Kita boleh cakap Allah boleh sahaja buat begitu. Namun, siapakah kita untuk menganggapnya begitu? Ulama' telah pun berbincang tentang hal ini, dan solusi yang mereka berikan ialah mengerjakan sahaja kesepuluh-sepuluh malam terakhir itu. Mudah kan?

Kalau difikirkan semula, bukankah sudah banyak malam yang kita lalui begitu sahaja, umpama angin yang keluar menjadi kentut sendawa. Jadi, apalah sangat 10 malam dengan ibadah yang luar biasa berbanding 344 malam dengan ibadah biasa-biasa sahaja. Kita mahukan iman yang jitu. Bukan iman yang gitu-gitu. Maka, bukankah ini peluang yang terbaik untuk merealisasikan impian itu?

Kita sering dengar hadis yang memungkinkan lailatul qadar pada malam-malam ganjil, kita ada dengar hadis yang memungkinkan lailatul qadar pada tujuh malam terakhir. Malah ada juga hadis yang mengatakan lailatul qadar itu jatuhnya pada malam ke dua puluh tujuh. Tapi, kenapa kita tak fokuskan pada hadis yang ini;

"Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" 
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Eh, baginda Nabi kot! Kalau Nabi kita yang suci dari dosa pun menghidupkan kesepuluh-sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, kenapa kita yang dosa keliling pinggang ni berkira-kira dalam ingin menghidupkan 10 malam ini? Kata mahu ikut sunnahnya. Bukankah ini antara sunnahnya? (Erk. Tiba-tiba rasa macam ada batu besar hempap atas kepala.)

Ya, mungkin masa kita tak cukup (ye ke?), anak kita ramai, kerja kita bertimbun, menyebabkan kita rasa tak mampu mencontohi amalan nabi kita. Tapi sekurang-kurangnya tanamkanlah azam untuk bangun sekurang-kurangnya seketika pada awal pagi di malam-malam tersebut, untuk merebut peluang yang datang hanya sepuluh kali je dalam masa tiga ratus lima puluh empat kali. Kita cuba ubah mindset kita, bukan hanya ingin kejar malam-malam yang ganjil sahaja, tapi ingin mengaut semua malam yang ada. Dalam hal mengejar kebaikan sebegini, kita harus tanamkan sifat tamak. Muahahaha...

Petikan di bawah dipetik daripada link ini yang bertajuk "Lailatul Qadar, Tepatnya Malam 21 atau 27?";

............................................
Jadi, Bagaimana Sebaiknya?

Tentu, bagi yang ingin bersungguh-sungguh mencari lailatul qadar tidak akan membatasi dirinya pada malam 21 atau 27 saja. Sebab, betapapun kuat dalil keduanya, ia bukan satu kepastian yang menjamin bahwa lailatul qadar pasti terjadi pada malam 21 atau 27. Mereka yang ingin lebih dekat kepada Allah, lebih mengikuti sunnah Rasulullah, serta ingin mendapati lailatul qadar hendaklah bersungguh-sungguh pada malam ganjil 10 hari terakhir. 

Rasulullah SAW bersabda, 



إِنِّى أُرِيتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ ، وَإِنِّى نُسِّيتُهَا ، وَإِنَّهَا فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ فِى وِتْرٍ



Sungguh aku diperlihatkan lailatul qadar, kemudian aku dilupakan –atau lupa- maka carilah ia di sepuluh malam terakhir, pada malam-malam yang ganjil. (Muttafaq alaih) 


Bagaimana praktik yang dicontohkan Rasulullah? Ternyata beliau bukan hanya "serius" di malam ganjil. Namun di seluruh sepuluh hari terakhir, dengan menunaikan i'tikaf. 

Maka Yusuf Qardhawi pun menyarankan, "Malam-malam ganjil yang dimaksud dalam hadits di atas adalah malam ke-21, 23, 25, 27 dan 29. Bila masuknya Ramadhan berbeda-beda dari berbagai negara, sebagaimana yang kita saksikan sekarang, maka malam-malam ganjil di sebagian wilayah adalah malam genap di wilayah lain. Sehingga untuk hati-hati, carilah lailatul qadar ini di seluruh malam sepuluh terakhir Ramadhan." 

Wallaahu a'lam bish shawab. [Muchlisin. Dari berbagai sumber, utamanya Fiqih Sunnah dan Fiqih Shiam]

............................................

Pesta ibadah ini belum tamat.
Mari kita ambil jalan selamat.
Laju-laju jangan lambat.
Semua sepuluh malam kita rembat!


Pesanan ini adalah untuk mengingatkan manusia bermula daripada yang bernama 'Saya'.

Aug 3, 2013

Kita Bukan Mesin



.........................................
Laut yang tenang jangan disangka tak ada jerung, langit yang terang jangan disangka takkan mendung, pohon yang rendang jangan disangka takkan rentung, dan hati yang lapang jangan disangka takkan meraung.
.........................................

Pabila hidayah itu mula meresap ke dalam jiwa, segalanya terasa indah. Baca Al-Quran; terasa seperti mahu terbang. Tunai solat; terasa tubuh seakan di awangan. Laksana puasa; terasa kebal dari sebarang godaan. Namun sekarang, semua itu berubah. Amalan sunat sekadar syarat mutabaah. Zikir sekadar sebutan kosong pada lidah. Solat sekadar buat gitu-gitu je lah. Dan banyak lagi yang tidak disebutkan kerana takut semua orang akan jadi tak tentu arah.

Kadang, kita terlalu fikir untuk meluncur laju, sehingga banyak perkara yang tercicir dan terhakis sedikit demi sedikit dari qalbu. Kita lupa untuk faham setiap apa yang kita amalkan. Kita lupa untuk hayati bibit-bibit indah yang kita tuturkan. Kita lupa untuk hadam apa yang kita bacakan. Segalanya terasa kering-kontang. Jasad itu hadir, tapi jiwa itu melayang. Lidah itu berzikir, tapi fikiran itu kerisauan. Minda itu berfikir, tapi hati itu kelesuan. Terasa tidak kena walaupun hidup dihiasi amal kebaikan.

Berhentilah sejenak!

Kita duduk bermuhasabah sekejap.  Adakah niat kita sekarang sama seperti yang dulu? Di mana sebenarnya arah yang kita ingin tuju? Adakah Al-Quran itu lebih sedikit kita tengok berbanding dengan MukaBuku? Adakah solat itu kita lakukan di awal waktu? Adakah Allah yang kita ingat selalu? Lontarkan banyak-banyak soalan yang padu. Sedarkan kembali minda dan hati yang sudah menjadi kelabu dan menggerutu.

Sayalah mesin jahit legenda itu [Gambar]

Kita bukan mesin.

Mesin itu tetap melaksanakan kerja mereka secara berterusan. Namun, tiada perasaan di kala kerja dilakukan. Hanya menurut apa yang diaturkan. Tidak dapat menghayati aksi-aksi yang telah diprogramkan.

Tapi kita ini insan.

Ya, kita ini insan. Insan itu punyai hati dan perasaan. Insan itu punyai jiwa dan pemikiran. Pantaskah kita bekerja tanpa cakna, membaca tanpa makna, berbicara tanpa canda, dan beribadah tanpa jiwa? Tidak ingatkah kita bahawa Nabi kita s.a.w. adalah yang paling berat bebannya di antara kita, namun tidak pernah lekang senyumannya?

Kata ‘Abdullah bin al-Harith:

“Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah s.a.w”
(Riwayat al-Tirmizi, sahih)


Banyak sahaja masalah yang baginda hadapi. Besar pula cabaran yang baginda lalui. Namun, baginda ajar supaya kita sentiasa mengukir senyuman. Diwaktu saat yang kecemasan, baginda berpesan pada seorang teman, supaya tidak merasa kesedihan, kerana yang bersama mereka sentiasa adalah Tuhan. Maka, jiwa yang resah itu akan menjadi senang. Dada yang sempit itu akan menjadi lapang. Hati yang gelap itu akan menjadi terang. Minda yang kusut itu akan menjadi tenang.

Jadi, marilah sama-sama muhasabah kondisi hati kita. Adakah kita umpama mesin yang tiada nyawa, ataupun insan yang kaya dengan jiwa?

Tulisan ini sekadar ingin memberi 'spark' untuk raih semula hati dan perasaan kita. Nasihat ini secara jujurnya adalah direct hit pada diri saya. Ambillah sekiranya merasakan ianya berguna.


Moga Allah redha.