May 22, 2013

Sampaikanlah, Kerana Ianya Menguatkan



Beberapa tempoh kebelakangan ini, saya tidak terlalu fokuskan untuk menulis dalam blog, kerana merasakan betapa sedikitnya amal harian saya ini. Erti tersiratnya ialah, saya mahu supaya amal itu betul-betul melekat dalam diri barulah mengajak orang lain melakukannya. Jadi, saya cuba untuk perbaiki, perbaiki, perbaiki, dan perbaiki (eh, ada beza ke) diri saya ini barulah menyampaikan.

Namun, setelah lama dalam proses pembaikan (konon-kononnya), saya sedar satu perkara. Apa yang melajukan kita, yang memberikan turbo serta meneguhkan kita dalam proses perubahan itu adalah menyampaikan. Apabila kita menyampaikan, tidak kira dalam bentuk lisan atau tulisan, ianya sebenarnya lebih menusuk tajam ke dalam qalbu dan memberi refleksi dalam kadar sekelip mata, mungkin lebih laju daripada itu.

Kiranya, menyampaikan itu tidak terletak di akhir perubahan (hatta, perubahan itu tiada titik noktahnya), tetapi proses menyampaikan itu seharusnya berlaku sejak kita mulakan perubahan itu hinggalah ke hujung nafas kita. Kalau kita mahu menyampaikan hanya selepas sudah benar-benar baik sehingga tumbuh kepak malaikat, alamatnya kita hanya sampaikan pada ahli-ahli kubur jela. Huhu. Pada saat itu, bubur pun tidak boleh menjadi nasi semula.


Kenapa menyampaikan itu memberi kekuatan pada perubahan? Jawapan dari Mak Jah penggoreng pisang ialah tiap-tiap kali dia menunjukkan cara menggoreng pisang dengan betul kepada anaknya yang baru sahaja belajar merangkak, dia secara tidak langsung memperingatkan dirinya juga bagaimana dia mampu menghasilkan pisang goreng yang laku hingga ke benua Antartik. Jika kita memberi peringatan, memberi nasihat, berkongsi ilmu, dsb, kita sepatutnya akan memberi refleksi pada diri kita; adakah kita betul-betul melaksanakan apa yang kita sampaikan pada orang lain? Seterusnya, kita akan melakukannya bersungguh-sungguh dan memastikan supaya konsisten agar orang sekeliling kita tidak mempersoalkan apa yang kita bawa dan dapat mengikuti amalan kita itu.

Ayuh berubah bersamaku hai teman [Gambar]
Cuba bayangkan andai kata kita hanya simpan teori-teori amalan itu hanya dalam minda kita. Sebagai contoh, secara teorinya seorang muslim itu seharusnya membaca Al-Quran setiap hari supaya hati itu suci bersih umpama dicuci dengan kloroks. Kita mahu amalkan teori itu supaya menjadi praktikal, tetapi kita tak pernah beritahu rakan-rakan sekeliling tentang itu. Maka, apabila kadang-kala kita terasa banyaknya kerja dan tiada masa, pastinya kita tidak merasa berat untuk skip bacaan itu sekali-sekala kerana bagi kita, Allah faham kesibukan kita. Ewahh, esainmen dan belajar itu boleh buat sampai 20 mukasurat, takkan satu ayat daripada ayat suci itu pun terasa berat? Erk. Sebaliknya, jika kita menyampaikan buah fikiran kita itu pada member-member sekeliling, pastinya akan timbul rasa, andai kata kita tidak melakukannya, pasti orang sekeliling akan memandang remeh dan memperkecilkan hal yang kita ingin bawakan. Akhirnya, tidak ada orang terkesan dengan nasihat kita itu.

Ya, orang ikut atau tidak itu urusan Allah. Tapi apakah usaha kita untuk memastikan orang mengikuti nasihat kita itu? Allah melihat usaha bro, bukan hasil. Maka, saya ingin menamatkan entri kali ini dengan sebuah kisah yang harapnya dapat memukul dan menampar kita supaya sedar akan tanggungjawab kita.

Al-Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah : “Nasihatilah shahabatmu”. Ia (Mutharrif) menjawab : “Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku perbuat”. Al-Hasan berkata : “Semoga Allah merahmatimu. Dan siapakah di antara kita yang mampu melakukan semua yang dikatakannya? Setan sangatlah ingin mendapatkan keinginannya melalui perkataan ini, hingga tidak ada seorang pun yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemunkaran”.

Konklusinya, ayuhlah sebarkan kata-kata yang salam (sejahtera) serta istiqomah melakukannya...

“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir?”
Al-Baqarah : 44

No comments:

Post a Comment