May 28, 2013

Belajar dari Peminat Bola Sepak: Bangun Awal Pagi



Satu hari tu, terkejut beruk juga bila lihat semua orang rumah bangun awal tak perlu dikejut. Malah, saya pula yang dikejut berukkan oleh mereka. Huhu.

Dari situ, saya terfikir, apakah yang membuatkan mereka begitu mudah bangun padahal sebelum itu agak liat nak bangun. Ohh... Ada match bola pusingan akhir rupanya. Bila ditanya macam mana boleh bangun awal, jawabnya ialah sebab perlawanan itu begitu penting untuk diketahui keputusannya secara live. Jadi, takkan nak lepaskan peluang keemasan ni selamba beruk je? Mana boleh bro.

Keyword yang saya nak highlight di sini ialah 'penting'. Meskipun kebiasaannya kita tidak dapat bangun dari tidur walaupun disimbah dengan minyak panas atau digegarkan dengan goncangan dari gunung berapi di sebelah rumah, apabila terpanggil untuk melakukan sesuatu yang kita rasa penting, kita mampu bangun awal walaupun tiada bantuan dari alam sekitar untuk mengejutkan kita. Seolah-olah kita merasakan tanggungjawab itu perlu ditunaikan meski darah kita tertumpah kerananya.

Jika kita merasakan solat subuh atau solat malam itu penting untuk diri kita, pastinya kita akan melakukan pelbagai persiapan agar dapat bangun awal. Kita akan tidur awal, kita akan set alarm seberapa banyak yang mungkin, kita akan minta rakan serumah dan mungkin jiran sebelah untuk menggegarkan katil kita, kita akan membaca doa-doa dan jampi serapah yang ada sebagai usaha kita untuk bangun awal.

Bangun pagi, gosok gigi! [Gambar]

Nak bangun awal ni kena ada keazaman yang kuat dan juga mindset yang kita nak bangun awal pagi setiap hari. Bagaimana nak mudah bangun andai tidak ada cita-cita untuk bangun? Cuba contohi mereka yang bersemangat nak tengok perlawanan bola sepak. Kerana tidak mahu ketinggalan perlawanan yang penting, tiada penghalang untuk mereka bangun di awal pagi. Jadi, kita pun mestilah merasakan yang bangun awal itu penting, kerana tidak mahu ketinggalan untuk melaksanakan solat subuh di awal waktu, secara berjemaah insyaAllah.

Seorang abang pernah pesan pada saya, kalau kita mulakan hari kita dengan baik, insyaAllah sepanjang hari itu kita dapat laluinya dengan baik. Nabi pun ada bersabda dalam beberapa hadis yang menceritakan kebaikan-kebaikan bangun di awal pagi. Ada juga hadis di mana baginda berdoa untuk mereka yang bangun di subuh hari: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah). Bukankah pada waktu pagi itu minda kita masih bersih, fikiran kita pula tidak bercampur baur dengan macam-macam perkara duniawi? Maka pada waktu itu sangatlah elok untuk bermunajat kepada Allah supaya kita dapat bersihkan diri pada waktu pagi sebelum melalui hari tersebut.

Jadi, bangkitlah wahai orang yang berselimut! Ucaplah syukur kerana masih diberikan peluang untuk bernafas. Kemudian, sujudlah serta tunduklah padaNya, yang Maha Mencipta.

No comments:

Post a Comment