IBKG
Rumah Tentang IBKG

Aug 29, 2012

Kita Adalah Apa Yang Kita Fikirkan.



Cuba pandang diri kita. Cuba tengok cermin. (weh, henfon kan ada!). Erm... Tak kisah la nak pakai apa pun, yang penting cuba tengok diri kita kejap. Apa yang kita fikir waktu kita pandang diri kita? Maksud saya, kita nampak diri kita ni macam apa? Macam bongkah kayu ke, macam batang lidi ke, macam kereta sorong ke, atau macam bantal busuk?

Ada orang nampak diri dia macam seorang yang gagah perkasa walaupun pada hakikatnya fizikalnya sangat comel. Ada orang nampak dirinya macam superman walaupun badannya macam lidi. Ada pula yang nampak dirinya seperti kuman walaupun dirinya sebesar gajah.

Kita ialah apa yang kita fikirkan dalam minda kita. [Gambar]

Nak sebut kat sini, yang apa yang kita fikir tentang diri kita itu memberikan efek khas pada diri kita. Kata orang kebanyakan, "we are what we think". Jadi, memandangkan diri kita ni adalah apa yang kita fikirkan, maka setiap perlakuan kita itu dipengaruhi oleh apa yang kita fikirkan.

Contohnya, kalau minda kita dah set bahawa kita ini pencuri, maka tiap-tiap hari pasti kawasan perumahan kita akan mengalami kehilangan barang tiap-tiap hari dek kerana otak kita yang ligat berfikir untuk mencuri. Begitu pula jika minda kita dah set bahawa kita ini adalah pemandu yang berhemah, maka setiap jalan raya akan dilalui dengan penuh sopan dan bertatasusila.

Bagi kita yang telah banyak berdosa pada masa lalu, ada dua cara kita boleh pandang diri kita. Pertama, kita boleh memandang diri kita sebagai orang yang sentiasa bertaubat dan mengharapkan keampunan dari-Nya. Keduanya, kita boleh memandang diri kita sebagai pendosa yang tiada harapan untuk kembali. Kalau kita begitu merasakan bahawa Allah tak akan menerima kita kembali, ketahuilah bahawa kita dah membuat silap yang sangat besar (rujuk ayat di bawah).

Katakanlah : "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap jiwa mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Az-Zumar : 53

Ayat ini menunjukkan bahawa sejauh mana pun kita dah terpesong, jangan sesekali kita berputus asa dari rahmat Allah. Seluas bumi pun dosa kita, ketahuilah bahawa pengampunan-Nya lebih luas. ^_^

Dalam banyak situasi dalam hidup kita ni, banyak perkara yang kita boleh lakukan jika kita meletakkan keyakinan bahawa "Saya boleh!" kerana dalam surah Al-Baqarah : 286 diceritakan bahawa Allah takkan membebankan kita dengan perkara yang tak sanggup kita pikul. Dalam ayat itu juga ada panduan doa memohon supaya kita tak dibebankan dengan apa yang kita tak sanggup pikul. Ini seperti satu cara untuk mengingatkan kita bahawa apa yang diberikan Allah pada kita adalah perkara yang kita mampu hadapi dan kita perlu laluinya.

Kenapa kita perlu lalui ujian? Dalam surah Al-Baqarah juga dalam ayat 214, dibangkitkan satu persoalan bahawa adakah kita rasa kita dah boleh masuk syurga sedangkan kita belum diuji dengan bermacam-macam kesusahan? Maka, apa-apa masalah yang kita lalui, yakinlah bahawa Allah ingin menguji tahap keimanan kita, bukan ingin menzalimi kita. Macam dalam pendidikan pun, bukankah kita perlu lalui banyak ujian untuk melepasi tahap tertentu? Maka Allah maha layak memberikan kita ujian untuk melihat manakah di antara hambaNya yang benar-benar beriman.

Jadi, marilah kita ubah cara pandang diri kita. Yakinkan diri kita bahawa kita adalah orang yang boleh melalui setiap perkara dalam hidup ini sama ada susah atau senang. Pandang diri kita dengan pandangan yang positif. Insya-Allah, tiap-tiap apa yang kita lakukan, kita akan lakukan secara positif.

(Sebarang perkongsian amatlah digalakkan)

No comments:

Post a Comment