IBKG
Rumah Tentang IBKG

Aug 30, 2012

Janji Merdeka!!!



[Gambar]
Di ambang kemerdekaan ni, seperti biasa, bunga-bunga api akan dilancarkan, dataran akan dipenuhkan, manusia akan berlonggokan, menunjukkan semangat mereka dalam menyambut hari kemerdekaan negara. Menunggu masa, mengira jam untuk menanti hari esok yang menandakan hari untuk memperingati tarikh kemerdekaan telah tiba.

Tak tahu kenapa, tahun ni rasa lain macam tentang kemerdekaan. Terasa seperti tak ada jiwa kemerdekaan yang meresap dalam hati ini. Mungkin disebabkan oleh sesetengah pihak yang menjadikan sambutan ini sebagai kepentingan mereka, kemerdekaan itu disambutkan dalam skop yang begitu kecil dan sempit.

Maka, saya cuba menghayati semula kisah-kisah perjuangan sewaktu zaman nabi dan para sahabat. Saya sangat tertarik dengan satu quote daripada Bilal bin Rabah yang saya teringat ada menontonnya di sebuah movie iaitu, "Biar mereka menyiksa jasad kita, jiwa kita bebas". Begitulah sekadar yang saya ingat. Kesahihannya pun tak dapat dipastikan. Namun begitu, bukanlah itu yang menjadi isunya.

Apa yang ingin diketengahkan ialah, orang yang walaupun menjadi hamba kepada manusia juga memiliki keyakinan bahawa jiwa mereka bebas daripada cengkaman tuan mereka kerana tuan mereka juga hamba Tuhan. Biar diseksa bagaimanapun supaya keluar dari Islam, Bilal tetap teguh dengan pegangannya serta keras kepala mengalahkan kerasnya batu apabila disuruh meninggalkan agama yang diamalkannya.

Rib’ie bin Amir, sahabat nabi pernah berkata kepada Rustam, “Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam…”

Bagi saya, ini merupakan definisi merdeka yang lebih bermakna. Kita bebas dari kecintaan terhadap dunia, kita bebas daripada penjajahan minda oleh orang yang bukan-bukan, bebas daripada menjadi hamba kepada manusia lain. Maksud saya tentang hamba kepada manusia lain ialah menjadi obses tak tentu hala kepada seseorang sehinggakan nilai-nilai Islam dalam diri kita semuanya ditolak ke tepi.

Apabila melihatkan rakan-rakan sebaya yang masih lagi hanyut, menganggap diri sudah merdeka tetapi masih dijajah dalam pelbagai aspek, agak sedih rasa di hati. Ingin sekali mengajak mereka kembali bebas daripada penjajahan dunia moden ini walaupun masih rasa ada lagi kesan-kesan jajahan jahiliyyah dalam diri ini. Namun, itu tak boleh menjadi penghalang buat diri kita untuk mengajak mereka kembali. Inilah tanggungjawab bagi orang-orang yang telah "disedarkan" daripada tipu daya dunia ini; mengajak orang kembali mengingati akhirat, mencintai akhirat, hidup di dunia untuk mengecapi kebahagiaan di akhirat.

Bayangkan, orang yang cedera akibat kemalangan di jalan raya sudah tentu akan selalu menasihatkan orang lain supaya berhati-hati di jalan raya biarpun lukanya masih ada. Begitulah orang yang telah sedar akan kebenaran yang dikecapinya setelah lama diselubungi kegelapan. Mereka akan menyampaikan kebenaran itu biarpun diri terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kerana mereka tidak mahu manusia lain melakukan kesilapan yang dilakukan oleh diri mereka.

Maka, marilah kita bebaskan diri dari dibelenggu penjajahan yang halus ini supaya jiwa kita bebas, terutamanya dari cengkaman jahiliyyah yang masih bersarang dalam hati ini. Biar kita menjadi hamba hanya kepada Ilahi.

Janji Merdeka!!!

No comments:

Post a Comment